Cerpen ialah kata akronim atau kependekan bagi cerita pendek. Terdapat lima genre dalam kesusasteraan Melayu moden, iaitu cerpen, drama, esei atau kritikan, novel dan puisi. Cerpen termasuk dalam kategori cereka, dan merupakan satu bidang yang popular. Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta dicampur dengan imaginasi, yang disampaikan melalui bahasa yang indah, dan teknik penceritaan yang menarik serta mempunyai nilai estetika. Cerpen juga merupakan satu gabungan antara pengalaman sebenar dengan rekaan atau imaginasi pengarang. Panjang sesebuah cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan.
Apa yang perlu ada dalam karya sastera seperti cerpen? Sebuah cerpen yang baik perlu mempunyai empat unsur utama, iaitu nilai intelek, pancaran emosi, persoalan atau peristiwa serta teknik persembahan.
Nilai Intelek
Sesebuah cerpen yang baik mempunyai sesuatu pemikiran yang tinggi. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.
Pancaran Emosi
Dalam sesebuah cerpen mesti terpancar perasaan sama ada gembira, sedih atau sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya yang dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.
Persoalan atau Peristiwa
Persoalan atau peristiwa dalam sesebuah cerpen ditulis dengan mata hati dan daya fikir, iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran, bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya mengandungi nilai yang positif.
Teknik Persembahan
Teknik persembahan atau cara pengolahan, susunan peristiwa dan diksi-diksi yang dipilih adalah salah satu unsur penting dalam penulisan cerpen.
Bentuk Cerpen
Cerpen terdiri daripada tiga bentuk utama, iaitu mimesis atau peniruan, cerpen beralasan dan cerpen mimpi. Cerpen mimesis atau peniruan, meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang. Cerpen beralasan pula mengadakan satu dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada makhluk asing. Manakala cerpen mimpi memaparkan cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.
Ciri-ciri khas cerpen:
1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adegan, watak, gerak
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpretasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana



salam,
saya ingin tahu,
kalau nak tulis cerpen pasal negara boleh ke ?