Tuhan tidak mati!
I “GOD is dead!” Aku terbaca ayat itu dalam buku Thus Spoke Zarathustra karya Friedrich Wilhelm Nietzsche. Ayat bernada provokasi itu sedikit menyentak kalbu. Tuhan sudah mati? Kegilaan apakah ini?
Angin melimbai cermat mengelus wajahku. Pawana yang berarak masuk melalui lohong jendela terasa menghulur bening kedamaian santak ke luhur atma. Seketika aku berasa bagai dingin air mengalir segar membasahi kelopak mata setelah terbaca sebaris ayat tersebut. Walhal sebelum itu mataku terasa kantuk amat setelah lelah mengerah tenaga fikir seusai menghadami buku Tujuan Dan Objektif Pendidikan Islam karya Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kata Syed Naquib, kekeliruan dalam ilmu akan menyebabkan kehilangan adab dan kehilangan adab akan menyebabkan lahirnya pemimpin yang rosak moral, intelektual dan rohaniahnya.
Aku mencerna kembali Thus Spoke Zarathustra.
“Apakah kita yang sudah punya pandangan alam Islami yang lebih sejagat harus berkiblatkan pandangan sempit Barat yang seperti ini? Hanya berhujahkan akal dan bertuhankan positivisme, seolah-olah dilahirkan tanpa pencipta, tanpa ibu bapa. Dangkalnya pemikiran sebegini rupa.” Monolog yang terbit dengan akal dan kalbu dengan iman dan ilmu.
Tiba-tiba, telefon bimbitku menggetarkan mesej.
“Jangan lupa janji kita untuk melanjutkan diskusi di pantai pada jam lima. Kita bertemu di tempat biasa.”
Pintu ingatanku terketuk oleh mesej daripada nadim karib yang sentiasa membasahi akalku dengan bicara ilmu. Segera aku bangkit daripada pembaringan lantas menyelitkan penanda buku pada halaman yang kutinggalkan sebentar pembacaannya itu. Jam di dinding menunjukkan jam 4.30 petang. Segera aku bergerak ke kamar mandian untuk berwuduk bagi menunaikan solat Asar.
II
“KITA sedang menyaksikan satu nahdah (renaissance).”
Begitu kata Anwar Ibrahim dalam bukunya, Gelombang Kebangkitan Asia. Sedikit sebanyak peribadiku tercerna oleh inti pati fikirnya yang sarat dengan idea kebangkitan masyarakat Asia. Aku kira buku ini wajar ditelaah oleh remaja agar wayu kesedaran terpupuk untuk membangunkan kembali altar kegemilangan bangsa di benua ini. Seperti katanya lagi, “Kebangkitan semula tamadun dan kebudayaan Asia yang berilhamkan kegemilangan zaman silamnya.”
Aku masih menantinya di atas sebungkah batu yang besar. Pawana yang berpawai mengelus-ngelus halus jasadku. Apa mungkin dia yang kukenali tepat berjanji harus lambat seperti ini? Ah, rasaku saja. Mungkin aku terlalu awal mengotakan janji. Atau dia punya kerja yang masih belum dilunasi.
Masa terluang itu tidak mungkin kupersiakan sebegitu tanpa melalui pengisian ilmu. Aku membuka beg galas yang sering menjadi teman permusafiran ilmuku. Beg yang berlatarkan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Ah, kenangan – beg yang tidak mungkin kutinggalkan di kediaman begitu saja tanpa digalas bersama. Isinya cumalah buku, nota dan pen. Cuma itu.
Aku mencapai buku Islam And Revolution karya Imam Khomeini; tokoh revolusi Iran bermazhab Syiah itu. Serasa dalam cepu akalku masih jelas akan ingatan tentang tawarikh kepimpinannya sehingga mampu menggulingkan pemimpin diktator Iran ketika itu, Shah Mohammad Reza Pahlavi tanggal 11 Februari 1979, sekalipun pemimpin kuku besi itu bersekongkol rapat dengan Amerika yang angkuh menggelarkan dirinya sebagai polis dunia itu.
Seketika aku tertarik untuk membelek bab Message To The Muslim Students In North America. Katanya, “It is your duty, Muslim youths, when you examine the truths of Islam with respect to politics, economics, society, and the like, to keep in mind the purity and originality of Islam and not to forget the superiority that separates Islam from all other schools of thought.” Menurutnya lagi, “It is your duty, respected youth of Islam, you who are the source of hope for the Muslims, to awaken people, to expose the sinister and destructive designs of imperialism. Strive harder for the propogation of Islam.”
Ah, aku merasakan tempoh jeda yang agak lama. Mengapa dia masih belum sampai? Gendala apakah yang dihadapinya? Aku cuba bertanyakan keberadaannya lewat SMS.
“Di manakah kamu? Aku menantimu di atas batu besar; tempat biasa kita bersua.”
Seketika itu, angin pantai membawa renda ingatanku kepada perbualan dengan rakan sekelas di perpustakaan sekolah. Ketika itu, dia sedang ralit membaca isu murtad dalam akhbar, manakala aku sedang mencerna Sejarah Awal Perpecahan Umat Islam (11-78H/632-698M) karya Mahayudin Haji Yahya.
III
“HISY, semakin menjadi-jadi gejala murtad kini. Mereka sudah semakin berani untuk melebarkan dakyah kepada kita secara terbuka.”
Seketika aku tertarik untuk menjawab pendapat spontan rakan sekelasku itu. Mukaku diangkat daripada halaman buku lantas memandang tepat ke wajahnya.
“Aku fikir yang salah itu bukan mereka. Yang salah itu adalah diri kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.”
Aku membetulkan dudukku di kerusi untuk memberi fokus kepada perbincangan yang aku kira akan menjadi suatu diskusi yang terperinci.
“Salah kita kau kata? Mengapa pula? Kita tak ada kena-mengena pun dengan mereka semua ini. Kita kan hanya pelajar.”
“Hah, orang yang berpemikiran seperti engkaulah yang menyebabkan gejala ini terusmenerus berlaku. Orang seperti engkaulah!”
“Kenapa pula engkau mengatakannya begitu?” “Disebabkan sikap individualistik seperti engkaulah, ramai saudara kita tersisih.
Disebabkan sikap individualistik seperti engkaulah, yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin. Memang dasar kapitalis. Kau dah baca belum rencana Menangisi Murtad Dan Zakat karya Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu? Kau dah hadami belum pengalaman yang ditumpahkan di dalam tulisan itu di mana beliau mengunjungi insan yang teraniaya tanpa pembelaan daripada saudara kita sendiri? Kau tahu siapa yang membela nasibnya? Kau tahu?
Sedarlah, kita sendiri yang mengabaikan nasib saudara kita sendiri. Ruang terbuka luas untuk dakyah asing menyusup masuk ke dalam diri mereka. Dan mungkin nanti melebar kepada kita pula. Hei, mana sekalian harta zakat yang sepatutnya menjadi hak fakir miskin itu? Kerenah birokrasi apakah ini?”
Dingin dalam perpustakaan itu terasa nihil makna. Bahang menyapa. Terasa dalam diriku meluap-luap dengan timbunan idea yang mahu ditumpahkan dengan segera. Fikrah yang dimiliki oleh sahabatku terasa mencetuskan suatu provokasi. Segera aku menarik nafas dalam-dalam untuk mengembalikan kerasionalan daya fikir.
IV
“ASSALAMUALAIKUM.”
“Waalaikumussalam warohmatullah. Hah. Tiba pun kau. Setengah jam aku dalam penantian.”
“Maaf. Aku dikekang gendala sebentar tadi. Sebagai ganti ampun yang masih bersisa, aku akan membelanjakan kau keropok seperti biasa.”
Aku dan dia berjalan ke sebuah gerai keropok. Seperti yang dijanjikan, Fateh membayar harganya berserta dua plastik air jambu batu. Petangpetang begitu memang enak mengunggis keropok dan menghirup air jambu batu sambil melayan elusan angin pantai yang berpuput lembut. Desir dedaun pohon cemara melatari suasana. Sesekali pukulan ombak menerjah pinggiran pantai.
Aku dan Fateh menapak ke tengah pesisiran.
“Sebenarnya, menjadi seorang remaja yang dipupuk rasa sedar akan gelora dalam agama dan ummah ini adalah sesuatu yang berat untuk dipikul. Berkesedaran bermakna seiring dengan tanggungjawab yang harus digalas bersama untuk membaiki lompang permasalahan yang terbangkit sedikit demi sedikit. Bermakna, punca harus dicari; penyelesaian perlu diberi; pelaksanaannya perlu dilunasi. Jika kita hanya menghadirkan idea, ibarat cawan kosong yang tidak berisi air. Akhirnya, tidak ada manfaat pun daripada cawan tersebut yang boleh diambil; sekadar menjadi perhiasan mata. Tetapi, jika kita terus kepada pelaksanaan semberono tanpa digerakkan oleh buah fikir yang tepat, ibarat air yang mengalir tanpa ada cawan untuk menakungnya. Akhirnya, air tersebut akan mengalir tanpa batasan lantas membasahi pelbagai perkakas di sekitarnya. Gagasan dan gerak kerja perlu bergerak selari. Itulah intelektual sejati.”
Fateh mengutarakan pemikirannya dengan suara yang agak sayu sambil memandang ombak yang tidak putus-putus menghempas pinggir pantai. Khali sebentar. Aku menghirup air jambu batuku sejeda seraya memandang garis lingkungan di hujung segara.
“Sebenarnya, aku baru sedar bahawa masalah sebenar ummah pada hari ini terbit daripada agenda-agenda sekularisasi yang menyerap masuk perlahan- lahan ke dalam kebudayaan kita. Sebab itulah sebilangan masyarakat semakin ditimpa masalah dalam pengurusan identiti diri. Kecelaruan budaya menyebabkan mereka bukan saja melacurkan maruah bangsa mereka sendiri, malah turut menggadaikan nilai agama mereka sendiri tanpa sedar. Ini perang budaya. Budaya Melayu tulen adalah selari dengan budaya Islam sebenar. Dalam Melayu ada Islamnya. Perlembagaan Malaysia dalam perkara 160 (2) turut menakrifkan konsep Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam.”
Aku mengambil sebatang keropok daripada plastik dan mengunggisnya. Fansuri tibatiba melabuhkan punggung di atas pasiran. Aku menurutinya. Setelah itu, dia menggenggam erat segenggam pasir dan melepaskannya perlahanlahan.
“Aku mencintai tanah kelahiranku ini. Aku tidak mahu nusaku diinjak lagi oleh penjajah. Tapi, sayang. Sayang sekali bahawa bangsaku tetap juga dijajah. Tapi, penjajahan kali ini rupanya adalah lebih dahsyat lagi; maha dahsyat. Kolonialisme minda. Ah, inilah ancaman sekularisasi dalam diam sebenarnya. Anasir ini menyusup masuk ke dalam akar kebudayaan dan kesenian masyarakat kita. Kalau kau baca tulisan Syed Muhammad Naquib al- Attas dalam Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, masyarakat nusantara sebenarnya amat mementingkan nilai kesenian dan kebudayaan dalam kehidupan. Benih-benih sekular berputik melaluinya.”
“Menarik. Cuba kau ulas lagi. Aku mahu dengar.”
Seketika, sebiji bola tiba-tiba bergolek ke arah kami. Aku berpaling dan memandang ke arah gelanggang bola di tengah pantai. Mungkin bola tersebut telah disepak hingga tersasar daripada ruang gelanggangnya.
“Sekejap.”
Aku merembat bola tersebut ke arah gelanggang bola di tengah pantai itu kembali. Selepas menerima ucapan terima kasih daripada mereka, aku meminta Fateh menyambung kembali bicaranya yang tertangguh sebentar.
“Kalau kau hendak tahu, masyarakat nusantara sebenarnya adalah masyarakat yang berseni dan berbudaya. Pada awalnya, seni dan budaya tersebut diresapi oleh pengaruh Hindu Buddha. Menariknya, pada waktu itu resapan pengaruh Hindu Buddha hanya bersemi pada seni dan budayanya sahaja, tetapi langsung tidak merentas ke dalam pandangan jagat masyarakat Nusantara yang hidupnya berasaskan seni budaya.
Kedatangan Islam sebagai agama yang syumul, bukan saja berjaya meresap masuk ke dalam kesenian dan kebudayaan masyarakat pada waktu itu, malahan telah berjaya menerobos ke dalam seluruh aspek sosialisasinya dan merubah pandangan alam mereka kepada pandangan alam yang Islami dan benarbenar murni.
Namun begitu, masalah baru timbul pula apabila ancaman sekularisasi mulai menyerap masuk secara perlahan-lahan ke dalam kesenian dan kebudayaan masyarakat nusantara melalui dasar imperialisme yang dilaksanakan oleh Barat. Jika pada mulanya kesenian dan kebudayaannya lebih condong kepada pandangan Hindu Buddha, sekarang dua perkara tersebut lebih condong kepada Barateisme pula. Dan sebenarnya masalah ini lebih merbahaya berbanding masalah awalnya. Masalah sekularisasi ini berjaya meresap ke dalam jiwa masyarakat secara halus dan perlahan sehingga jati diri mereka terhakis sedikit demi sedikit.”
“Menarik! Tetapi, engkau terlalu banyak berbicara sehingga tidak terjamah lagi keropok ini.” Plastik keropok diserahkan kepadanya. Fateh menyambut dan mengambil sebatang keropok di dalamnya.
“Hmm. Kata-kata engkau tadi sedikit demi sedikit menyedarkan aku bahawa masyarakat semakin jauh meninggalkan Tuhan. Agenda sekularisasi yang berjaya merasuk pemikiran masyarakat menyebabkan mereka beranggapan bahawa pemisahan nilai agama daripada sesuatu bidang adalah perlu bagi mendorong kepada takah kemodenan yang lebih cemerlang. Akhirnya, fenomena ini telah mengakibatkan berlakunya perang budaya secara besarbesaran. Hal ini mengingatkan aku kepada petikan sajak Sidang Roh yang ditulis oleh Kassim Ahmad suatu ketika dulu yang pernah mencetuskan kontroversi. Dia kata:
Nanti akan padamlah dengan sendirinya
Lampu dari menara tinggi
Kerana di bawahnya orang kian mabuk
Dan Tuhan sudah mati.
Tuhan sudah mati dalam jiwa sebilangan masyarakat sehingga dosa pahala tidak lagi diambil kira; buruk baik tidak lagi dicakna.”
Aku hafali benar sajak Sidang Roh itu di dalam cepu kepala. Masih teringat akan penjelasan daripada penulisnya tentang sajak itu di dalam buku Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam. Penulisnya menyatakan bahawa frasa “Tuhan sudah mati” itu adalah suatu metafora melambangkan kemerosotan akhlak yang dahsyat dalam kalangan manusia.
“Ya. Dalam apa juga perkara, jika Tuhan ditinggalkan, jadilah seperti binatang yang melata. Nafsu tidak dipandu oleh akal; akal tidak dipandu oleh wahyu. Akhirnya, seolaholah hidup dalam dunia yang bebas dosa. Manusia .. nasiya .. pelupa!”
Angin pantai terus mendesir santai. Di hujung segara, suria mulai tenggelam ke ufuk. Ombak terus menghempas pinggir pantai. Dan Fateh juga aku terus menekuni alam yang amat makhfi.
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh
dibilangkan nama. Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang makrifat
Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri, maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia, tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat, tahulah ia dunia mudarat.
(Gurindam 12 fasal yang pertama: Raja Ali Haji)
Oleh Ahmad Muziru Idham Adnan
Biodata Penulis
AHMAD MUZIRU IDHAM ADNAN
* Dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu, pada 12 Ogos 1992.
* Berkarya sejak Tingkatan Satu dan mula menghantar karya pada Tingkatan Empat.
* Karyanya mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Jendela Timur dan Esastera.com.
* Beberapa puisinya dimuatkan dalam Antologi Puisi Penyair Nusantara: Musibah Gempa Padang dan KEMALA: Meditasi Dampak 70.
* Peserta Minggu Penulis Remaja 2009 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
* Menyertai Bengkel Penulisan Hadiah Galakan Tunas Remaja 2009, Seminar Penulisan Cerpen Dan Novel 2010, Forum Permasalahan Sastera Masa Kini 2010 dan Perhimpunan Penulis Muda Remaja III 2011.
* Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ini
* Boleh dihubungi di aye_serulingemas@ yahoo.com.
Publication: BM
Date of publication: Feb 26, 2012


